Bukit Seguntang.

SELEPAS sekian lama mendengar cerita dan membaca mengenai Bukit Seguntang yang disebutkan dalam teks mahakarya Tun Sri Lanang, Sejarah Melayu, takdir menentukan penulis bersama beberapa rakan berpeluang menjejakkan kaki ke lokasi itu dalam kunjungan ke Palembang, Sumatera, Indonesia, baru-baru ini.

Mengikut teks Sejarah Melayu, Bukit Seguntang adalah tempat Wan Empuk dan Wan Malini berhuma hingga berbuahkan padi emas, berdaun perak dan batangnya menjadi tembaga suasa apabila tiga anak Raja Suran, Sang Nila Pahlawan, Krisyna Pendita dan Sang Nila Utama, turun di bukit itu.

Namun, itu sekadar mitos. Setibanya penulis di situ, tiada padi berbuah emas, berdaun perak dan berbatangkan tembaga suasa kelihatan. Bagi penulis, secara fizikalnya Bukit Siguntang hanya sebuah bukit yang tidak begitu tinggi dan bahagian puncaknya mempunyai permukaan luas, lapang dan rata, meskipun dipenuhi longgokan batu granit. Namun, berdasarkan panorama sangat indah dan bentuk fizikalnya, memang sesuai Wan Empuk dan Wan Malini berhuma di situ. Tanpa padi emas, bukan bermakna Bukit Seguntang hilang nilai estetikanya kerana ia tetap berharga dan menyimpan banyak khazanah sejarah.

Di Bukit Seguntang, bersemadi Raja Segentar Alam, Puteri Kembang Dadar (permaisuri Parameswara), Pangeran Raja Batu Api, Puteri Rambut Selaka, Panglima Bagus Sekarang, Panglima Bagus Kuning dan Panglima Tuan Junjungan.

Menyedari kepentingan sejarah silamnya, kawasan Bukit Seguntang seluas kira-kira 12 setengah hektar setinggi 27 meter mula dibangunkan pada 1991. Penemuan seperti serpihan tembikar zaman pra-Dinasti Song dan zaman Dinasti Song membuktikan kawasan itu pernah diduduki penduduk silam yang belum memeluk Islam.

Kini, Bukit Seguntang menjadi lokasi pelancongan arkeologi penting di Palembang kerana ia turut dikaitkan dengan transfomarsi pengaruh Buddha ke Islam.  Justeru, landskap di sekitar bukit itu terpelihara, apatah lagi penyelidik menemui beberapa struktur bahan binaan seperti batu-bata terracotta di sekitar bukit itu.  Selain Bukit Seguntang, turut ditemui beberapa lagi kesan peninggalan sejarah di bumi Palembang yang dikatakan dibuka pada 683 Tahun Masehi oleh Dapunta Hiyang Sri Jayanasa dan menjadi Taman Purbakala Kerajaan Sri Wijaya Karang Anyar.

Mengikut sejarah, pada abad ketujuh hingga 12, Sri Wijaya menjadi kerajaan maritim berpengaruh sehingga ke timur China dan Madagascar, Afrika. Bagi tempoh sama, Palembang adalah pusat Empayar Sri Wijaya yang menguasai laluan perdagangan antara Laut China Selatan dan Lautan Hindi.

Tinggalkan Balasan

Please log in using one of these methods to post your comment:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: