Kesultanan Johor.

Sejarah Johor sudah pun bermula pada tahun 800 sebagai suatu petempat perdagangan yang penting. Semasa abad ke-14, kawasan itu menjadi wilayah tanggungan Empayar Majapahit sehingga pemerintahan Kesultanan Melaka (1400-1511) yang mana negeri Johor menjadi pula salah sebuah jajahan pemerintahannya. Pada tahun 1511, Melaka dikuasai oleh pihak Portugis dan Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka ketika itu, melarikan diri ke Pahang dan kemudiannya ke Bentan di Johor.Jadual isi kandungan

Kejatuhan Sultan Mahmud Shah

Di Bentan, Sultan Mahmud Shah mengumpulkan semula semua askarnya dan menyerang Melaka beberapa kali dan membuat sekatan perdagangan. Portugis merana kerana banyak serangan dilakukan oleh Sultan Mahmud Shah. Beberapa percubaan untuk menewaskan askar-askar Sultan Mahmud Shah dilakukan. Akhirnya, pada tahun 1526, seangkatan kapal yang besar di bawah Pedro Mascarenhaas dihantar oleh negeri Portugal untuk memusnahkan bandar Bentan. Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri melintasi Selat Melaka ke Kampar, Sumatra di mana beliau mangkat. Baginda meninggalkan dua orang putera iaitu Tengku Muzaffar Shah dan Tengku Alauddin Riayat Shah.

 

Muzaffar Shah seterusnya menjadi Sultan Perak manakala Alauddin Riayat Shah menjadi sultan Johor yang pertama. Kesultanan Johor juga dikenali sebagai “Kesultanan Johor-Riau-Lingga”.

Perang Tiga Segi

Sultan Alauddin Riayat Shah menubuhkan sebuah kota di Johor Lama yang terletaknya di tebing Sungai Johor dan dari situ terus melancarkan serangan ke atas kedudukan Portugis di Melaka. Baginda senantiasa bekerjasama dengan saudaranya di Perak dan juga dengan Sultan Pahang untuk menawan semula Melaka (pada ketika itu kota A Famosa telah dibina).

Di sebelah utara Sumatera pula pada masa yang sama, Aceh mula mengembangkan pengaruhnya untuk menguasai Selat Melaka. Selepas kejatuhan Melaka kepada Portugis yang beragama Kristian, pedagang-pedagang Muslim mula menjauhkan diri daripada Melaka dan singgah di Aceh. Melihat keadaan itu Portugis merasa tercabar kerana hasil perdagangannya semakin kurang.

Portugis dan Johor sentiasa berperang menyebabkan Aceh melancarkan serangan ke atas kedua-dua belah pihak. Kebangkitan Aceh di Selat Melaka mengakibatkan Johor dan Portugis berdamai dan bekerjasama melemahkan Aceh. Tetapi selepas Aceh menjadi lemah, Johor dan Portugis kembali berperang.

 

Belanda dan Melaka

 

Pada abad ke-17, Belanda tiba di Asia Tenggara. Belanda bukanlah sekutu atau kawan Portugis dan ini menyebabkan Belanda bersekutu dengan Johor untuk memerangi Portugis di Melaka. Akhirnya pada tahun 1641, Belanda dan Johor berjaya menewaskan Portugis. Melaka kemudiannya menjadi milik Belanda sehinggalah Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 ditandatangani.

 

Perang Johor-Jambi

 

Semasa Perang Tiga Segi, Jambi yang berada di bawah kekuasaan Johor menjadi tumpuan ekonomi dan politik. Pada tahun 1666, Jambi cuba membebaskan diri daripada kekuasaan Johor dan di antara tahun 1666 hingga tahun 1673 terjadilah peperangan di antara Johor dan Jambi. Ibu kota Johor iaitu Batu Sawar dimusnahkan oleh angkatan Jambi. Hal ini menyebabkan ibu kota Johor sentiasa berpindah-randah.

 

Sepanjang perang itu Jambi yang sentiasa mendapat keuntungan. Tetapi pada tahun 1679, Laksamana Tun Abdul Jalil mengupah askar upahan Bugis untuk bersama-sama dengan tentera Johor menentang Jambi. Tidak lama kemudian Jambi pun tewas.

 

Pengaruh Bugis

 

Sultan Mahmud Shah II mangkat pada tahun 1699 tanpa meninggalkan sebarang waris. Melihatkan keadaan itu, Bendahara Abdul Jalil melantik dirinya sebagai sultan baru dengan digelar Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Tetapi timbul perasaan tidak puas hati di kalangan pembesar-pembesar lain di atas perlantikan itu.

 

Orang Bugis yang memainkan peranan penting sewaktu Perang Johor-Jambi mempunyai pengaruh yang kuat di Johor. Selain daripada orang Bugis, orang Minangkabau juga mempunyai pengaruh yang kuat. Orang Bugis dan Minangkabau percaya dengan kematian Sultan Mahmud II, mereka dapat mengembangkan pengaruh mereka di Johor. Di kalangan orang Minangkabau terdapat seorang putera dari Siak iaitu Raja Kecil yang mengaku dirinya sebagai waris tunggal Sultan Mahmud II. Raja Kecil menjanjikan kepada orang Bugis bahawa sekiranya mereka menolongnya menaiki takhta dia akan melantik ketua orang-orang Bugis sebagai Yam Tuan Muda Johor.Pada masa itu orang-orang Bugis telah memberikan alasan untuk pergi ke Selangor bagi mengumpul orang-orangnya sebelum melancarkan serangan. Walau bagaimanapun Raja Kecil telah melancarkan serangan terlebih dahulu setelah terlalu lama menunggu kedatangan orang-orang Bugis. setelah Raja Kecil berjaya menduduki tahta Johor orang-orang Bugis telah datang menuntut janji untuk dilantik sebagai Yam Tuan Muda. Permintaan ini telah tidak diperkenankan oleh Raja Kecil kerana orang-orang Bugis tadi telah tidak memberikan bantuan sebagaimana yang diminta oleh Raja Kecil.

 

Tidak puas hati dengan perlantikan Raja Kecil, bekas Bendahara Abdul Jalil meminta Daeng Parani ketua orang Bugis untuk menolongnya mendapatkan semula takhta.Permintaan ini telah dipersetujui oleh orang-orang Bugis kerana mereka juga kecewa kerana tidak dapat menuntut jawatan Yam Tuan Muda. Pada tahun 1722, Raja Kecil terpaksa meletakkan takhta kerana pengaruh Bugis. Anak Bendahara Abdul Jalil kemudiannya dilantik menjadi sultan dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Tetapi Sultan Sulaiman hanyalah seorang sultan tetapi tidak mempunyai kuasa kerana Daeng Merewah, daripada orang Bugis yang memegang kuasa sebagai Yamtuan Muda.

Tinggalkan komentar