Kesultanan Melaka.

Kesultanan Melayu Melaka diasaskan oleh Parameswara, seorang putera Srivijaya beragama Hindu yang berasal dari Palembang di antara tahun 1400 hingga tahun 1403. Pada awalnya Melaka bukanlah sebuah kerajaan yang beragama Islam. Hal ini berubah pada tahun 1414 apabila Parameswara berkahwin dengan puteri dari Pasai. Agama Islam dijadikan sebagai agama rasmi Kesultanan Melayu Melaka oleh Sultan Muzaffar Shah. Pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka berterusan selama lebih kurang satu abad sehinggalah Melaka tewas di tangan penjajah Portugis pimpinan Alfonso de Albuquerque pada 24 Ogos 1511. Sultan Mahmud Shah merupakan sultan yang terakhir Kesultanan Melayu Melaka.

Menurut “Suma Oriental”, Parameswara ialah seorang raja Palembang yang menggantikan ayahandanya, Raja Sam Agi. Beliau diserang oleh Raja Jawa, Batara Tamavill, sewaktu beliau menggelarkan dirinya sebagai Mjeura (“orang yang berani”). Ekoran daripada itu, beliau melarikan diri ke Singapura.

Setelah membunuh wakil Raja Siam di Singapura, Parameswara menjadi pemerintah palsu pada satu tempoh yang tidak lama kerana beliau telah diserang dan dihalau oleh pihak Siam tidak lama selepas itu. Dengan seribu pengikutnya, beliau menuju ke pantai barat Semenanjung Melayu untuk mencari tempat perlindungan yang baru.

Menurut Sejarah Melayu (“Malay Annals”) yang dikarang oleh Tun Sri Lanang pada tahun 1565, Parameswara melarikan diri ke Muar tetapi diganggu oleh biawak yang tidak terkira banyaknya. Penetapan di tempat yang kedua di Kota Burok juga gagal kerana kubu pertahanan yang mereka cuba mendirikan runtuh dengan serta merta. Kemudian Parameswara berpindah ke Sening Ujong. Setelah berada di sana, beliau melantik seorang menteri untuk mewakili dirinya dan kemudiannya beliau tiba di Sungai Bertam, iaitu suatu kawasan persisiran pantai. Ketika itu, orang-orang Seletar mendiami di situ dan mereka meminta Parameswara menjadi raja.

Semasa berburu di muara Sungai Bertam, Parameswara ternampak seekor pelanduk menendang salah seekor daripada anjing-anjing burunya. Parameswara tertarik dengan kegagahan pelanduk itu lalu beliau memutuskan membina sebuah penempatan di kawasan tersebut. Selepas menanyakan nama pokok (Pokok Melaka) yang diteduhnya, Parameswara menamakan tempat itu “Melaka”.

Ancaman serangan daripada pihak Siam menyebabkan keputusan Parameswara membayar ufti kepada negeri China pada tahun 1409 supaya mendapat perlindungan. Pada tahun 1411, diiringi oleh Laksamana Cheng Ho, beliau melawat negeri China dengan rombongan pengiring sebanyak 540 orang untuk pertemuan dengan Yung Lo, Maharaja Ming.

Kelihatan Pedagang-pedagang Arab bersembahyang di Pelabuhan Melaka

Parameswara memeluk Islam pada tahun 1414 melalui perkahwinannya dengan puteri Pasai, Indonesia dan menukarkan nama beliau kepada “Raja Megat Iskandar Shah”.

Pemerintahannya itu berkembang dengan pesat dan menjadi sebuah pelabuhan yang terpenting di Kepulauan Melayu pada abad ke-15 dan ke-16. Tambahan pula, Melaka merupakan tempat perdagangan rempah dengan berfungsi sebagai pintu kepada negeri-negeri rempah untuk memasarkan rempah mereka. Ini dapat digambarkan menerusi Duarte Barbosa yang berkata, “Sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai perdagangan dunia” (He who is lord of Malacca has his hand on the throat of Venice.)

Faktor-fakor yang menyumbang kepada Melaka menjadi sebuah negeri yang maju adalah kerana pelabuhannya terlindung daripada ancaman Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut. Pedagang-pedagang dari Jawa, Arab, India, China dan lain-lain dapat berlindung di Melaka sehinggalah keadaan selamat untuk mereka ke laut semula. Semasa pemerintahan Parameswara, ramai orang Cina menetap di Melaka, berdekatan kawasan Bukit Cina yang mempunyai feng shui yang terbaik pada masa itu.

Perkembangan Melaka

Iskandar Shah mangkat pada tahun 1424 dan diwarisi oleh anaknya, Sri Maharaja, yang mengambil gelaran “Sultan Muhammad Shah” (1424-1444). Pada kemangkatannya dalam tahun 1444, beliau diganti oleh putera bongsunya, Raja Ibrahim. Raja Ibrahim kemudian dibunuh dan dimakamkan dengan gelaran “Sultan Abu Syahid”.Raja Kassim menaiki tahta pada tahun 1445 dan memakai gelaran “Sultan Muzaffar Shah” (1445-1459) menaiki takhta dan mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi negeri. Pendakwah-pendakwah Islam dihantar oleh Sultan ke seluruh Kepulauan Melayu seperti Jawa, Borneo dan Filipina. Sebahagian besar penduduk Asia Tenggara pada ketika itu beragama Hindu. Semasa pemerintahannya, pihak Siam membuat serangan pertama ke atas Melaka pada tahun 1447 tetapi ditewas tidak jauh dari Muar. Pada tahun 1456, Tun Perak menjadi bendahara dengan gelaran “Bendahara Paduka Raja”. Beliau berkhidmat di bawah empat Sultan dan merupakan tulang belakang kepada perkembangan Melaka ke mercu kekuasaannya di Kepulauan Melayu.

Tinggalkan komentar